Lot 3.07, Level 3, Sunway Putra Mall

HUKUM SOLAT SAMBIL DUKUNG BAYI

HUKUM SOLAT SAMBIL DUKUNG BAYI

Menurut JAKIM, sama ada untuk imam, makmum, atau solat bersendirian kita dibenarkan mendukung bayi lelaki mahupun perempuan. Ia juga dibenarkan untuk solat fardhu atau sunat, dengan syarat-syarat berikut:

1. Bayi tersebut mestilah bebas daripada najis. Pastikan anda sudah menukar lampin bayi sebelum mula solat.

2. Mengawal pergerakan supaya tidak melakukan pergerakan anggota besar sebanyak tiga kali berturut-turut. Pergerakan lain juga perlu diminimakan sebaik mungkin supaya tidak menghilangkan khusyu’.

3. Memastikan dada sentiasa menghadap kiblat.

4. Melakukannya hanya dalam keadaan yang benar-benar memerlukan. JAKIM menegaskan bahawa adalah lebih baik sekiranya dapat memberi seseorang menjagakan anak semasa kita sedang solat.

CARA SOLAT SAMBIL DUKUNG BAYI

1. Seelok-eloknya, bersihkan bayi yang akan didukung daripada sebarang najis terlebih dahulu. Tukar lampinnya dan carilah pakaian yang bersih supaya ia tidak menjadikan kita was-was ketika sedang solat nanti.

2. Memulakan niat solat seperti biasa sambil mendukung bayi.

3. Sewaktu takbiratul ihram, kedua-dua tangan tidak perlu diangkat dan tidak perlu diletak di atas pusat sekiranya kedua-dua tangan sedang mendukung bayi. Ini kerana, takbiratul ihram termasuk dalam rukun qauli (bacaan/lafaz) dan bukannya fi’li (perbuatan).

4. Baca Al-Fatihah seperti biasa dan surah pilihan jika keadaan mengizinkan.

5. Rukuk dengan tangan memegang erat bayi tersebut. Tidak perlu meletakkan kedua-dua tangan di atas lutut sekiranya ia di luar kemampuan anda yang sedang mendukung bayi.

6. Ketika mahu sujud, letakkan bayi di sebelah dan sujud seperti biasa. Selesai sujud kedua, dukunglah bayi semula sebelum memulakan rakaat seterusnya.

7. Ulangi langkah yang sama sehingga selesai kesemua rakaat.

Antara yang membuktikan Rasullulah saw meraikan psikologi kanak-kanak ialah baginda pernah mendukung cucunya ketika sedang menunaikan solat. Perkara ini dapat dilihat di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan menerusi Abu Qatadah al-Ansari ra :

“Sesungguhnya Rasullulah saw menunaikan solat dalam keadaan membawa (mendukung) Umamah, anak perempuan Zainab binti Rasullulah saw dengan suaminya al-As bin Rabiah bin Abd Syams. Apabila sujud , baginda meletakkannya apabila bangun , baginda mendukungnya semula . “{Al-Bukhari,Sahih al-Bukhari, bab Iza Hamila Jariyatan Saghiratan Ala Unuqihi Fi al-Solat, hadis nombor 486}

Sumber : JAKIM

Leave a comment